Thursday, May 18, 2006

Kehidupan Hati



Judul : Kehidupan Hati - Untuk Sampai Kepada Tuhan Yang Dikasihi

Pengarang : Imadu al-Din Muhammad bin al-Husin

Penerbit : Utusan Publishing & Distributors

Sebuah kitab tasawuf, Kehidupan Hati Untuk Sampai Kepada Tuhan Yang Dikasihi diterjemahkan oleh Allahyarham Ustaz Haji Salleh Karimi bin Haji Mohd Kari daripada kitab Hayatul Qulub fi Kaifiyati al-Wusul ila al-Mahbub.

Kitab ini ditulis sebagai panduan kepada insan yang mahu menyucikan jiwa dan menghiasinya dengan bentuk amal tertentu bagi mencapai kebahagiaan yang berkekalan. Dibentangkan di dalamnya ilmu mengenali hal-ehwal hati atau qalbu, sama ada tentang kebaikan mahupun kejahatannya, dan bagaimana pula merawatnya daripada perkara aib dan kecelaan, serta cara-cara membersihkannya daripada najis maknawi. Mengenali hati ialah jalan untuk lebih mengenali Rab al-Izzati demi memperoleh keredhaan-Nya.

Terbina oleh empat bahagian utama, kitab ini membahaskan : pengenalan kepada ilmu dan hakikat tasawuf; dan takrif istilah sufi serta wasiat berguna buat musafir menujui al-Khaliq yang dicintai.

Kitab Kehidupan Hati untuk Sampai kepada Tuhan yang Dikasihi edisi adaptasi ini merupakan satu penulisan yang amat berharga di persada ilmu Islam, khususnya bidang ilmu tasawufyang menyentuh keperibadian, keluhuran dan pengabdian insan kepada Yang Maha Pencipta. Sehubungan itu, kitab ini juga memberi impak yang mendalam melalui sentuhan ilmu tasawuf terhadap pembangunan insan yang mempunyai semangat spiritual-sosial berdasarkan al-Quran dan al-Hadith serta kisah para sahabat r.a. Justeru, kandunganya sudah tentu dapat mengimbangi hadharah duniawiyyah dan ukhrawiyyah secara fizikal, spiritual dan metafizikal. Bertepatan dengan itu, usaha barisan panel penyunting yang mengadaptasi buku terjemahan ini ke dalam gaya bahasa moden diharapkan dapat memberi input yang baik kepada khalayak pembaca agar kandungannya mudah diamalkan.

Sunday, May 14, 2006

Salam kasih buat Ibu...

"Ukhuwah itu di hati, walau bersendirian pasti ia menemani. Setiap yang manis mampu dikenangi, walau tiada di mata kini, ia hadir bila dirindui kerana asasnya ia kekal di dasar hati."


Ibuku sayang, kasihmu abadi & segar selalu di hati ini...

Monday, May 01, 2006

Salam manis mesra...

Aku bukanlah penyair, jauh sekali seorang pujangga.
Bait kataku sekadar biasan hati, yang ingin berkata tapi terkunci.
Aku seorang manusia, yang lahir sebagai pelengkap dunia,
kerdil di pandangan, lemah untuk diperbandingkan.
Namun, kerdilku tidak beerti aku lemah,
lemahku bukan alasan untuk mengalah,
kalahku tidak bererti aku menyerah.
Jangan kau ukur kekerdilanku, jangan kau lihat kelemahanku,
jangan kau kira kegagalanku.
Kekerdilanku hanyalah di mata, tetapi bukan di minda,
kelemahanku hanyalah pada rupa, tapi bukan pada daya.
Kegagalanku hanyalah sebagai penyeri, untuk aku terus perbaiki diri.
Aku rela menjadi orang bodoh, yang sentiasa bersuluh,
tidak kuingin menjadi orang yang bijak, tetapi mati terpijak.

Biarlah majuku berpandu, bukan undurku tersungkur.
Aku rela menjadi semut merah, dari gajah di rimba, yang gah mengusung nama, namun terlalu lemah akalnya.
Biar aku fakir harta, asal akalku berharga, biar tulangku rapuh,
asal semangatku kukuh....
{BIASAN HATI ~ Ajjaliza}